Pemandu peribadi didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

Tertuduh, Yeap Chen Siang, 29 mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan menjalankan aktiviti pemberian pinjaman wang tanpa lesen kepada tiga individu tahun lalu

KOTA BHARU, 4 Mei – Seorang pemandu peribadi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan menjalankan aktiviti pemberian pinjaman wang tanpa lesen kepada tiga individu tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa menjalankan pemberian pinjaman wang tanpa lesen di hadapan sebuah kopitiam pada beberapa tarikh tahun lalu.
  • Kes dikendalikan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, hukuman denda RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
  • Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya; tertuduh diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli.
  • Mahkamah mengikat jamin RM10,000 dan RM8,500 bagi pertuduhan berasingan; sebutan semula ditetapkan 2 Julai.

Tertuduh, Yeap Chen Siang, 29, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dan Majistret Wan Muhammad I’zzat Wan Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga di hadapan Rais Imran, Yeap didakwa menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki dan seorang wanita di hadapan sebuah kopitiam di sini pada 20 April, 19 Jun dan 11 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat hingga keenam di hadapan Wan Muhammad I’zzat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi serupa membabitkan wanita sama serta seorang lelaki lain pada 13 Mac, 20 Mei dan 23 Ogos tahun lalu.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Nabil Mohamed Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli.

Pada prosiding berkenaan, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah minimum dikenakan atas alasan tertuduh perlu menyara ibunya dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi tiga pertuduhan di hadapan Rais Imran, manakala Wan Muhammad I’zzat menetapkan jaminan RM8,500 bagi tiga lagi pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.