Pelarian perlu hormati undang-undang sesebuah negara

Tinjauan RTM berhubung pelarian di ibu negara

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pelarian yang berada di mana-mana negara termasuk di Malaysia perlu menghormati dan mematuhi undang-undang negara meskipun mereka diterima atas dasar kemanusiaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedaulatan negara mesti diutamakan dalam pengurusan pelarian demi keselamatan dan kepentingan negara.
  • Penguatkuasaan melalui Jabatan Imigresen perlu diteruskan selari dengan pertimbangan kemanusiaan.
  • Kerjasama semua pihak dan pematuhan undang-undang tempatan penting untuk pengurusan pelarian yang lestari.

Ketua Entiti Kecemerlangan Undang-Undang Kanak-Kanak dan Polisi Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Nadzriah Ahmad menegaskan aspek kedaulatan negara perlu kekal menjadi keutamaan dalam menangani isu pelarian, di samping mengambil kira faktor kemanusiaan yang mendorong mereka meninggalkan negara asal.

“Kita perlu meletakkan kedaulatan negara sebagai keutamaan tertinggi. Dalam perkara ini, kita mempunyai kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan kuasa tersebut sememangnya diperuntukkan bawah peraturan sedia ada.

“Penerimaan pelarian atas pertimbangan kemanusiaan tidak bermakna mereka bebas daripada tanggungjawab untuk menghormati undang-undang negara tuan rumah.

“Walaupun kita menerima mereka atas dasar kemanusiaan, pelarian perlu sedar bahawa apabila berada di Malaysia, mereka mesti mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Isu pelarian perlu ditangani secara seimbang antara penguatkuasaan undang-undang dan tuntutan kemanusiaan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

“Memang benar kita perlu menjaga kedaulatan negara dan penguatkuasaan perlu diteruskan. Namun pada masa sama, kita juga perlu memahami bahawa mereka datang ke Malaysia kerana ancaman dan konflik yang berlaku di negara asal mereka,” katanya.

Dalam pada itu Dr Nadzriah turut mengingatkan bahawa Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, namun masih menerima pelarian tertentu atas dasar kemanusiaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama semua pihak serta pematuhan terhadap undang-undang tempatan penting bagi memastikan isu pelarian dapat diuruskan secara lestari tanpa menjejaskan kepentingan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.