
SELAYANG, 18 Jun – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 mencatatkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 pada tahun lalu.
- Lebih ramai calon berjaya memperoleh PNGK 4.00, meningkat 70 orang berbanding tahun sebelumnya.
- Bilangan calon peroleh 5A dan 4A meningkat, menunjukkan peningkatan pencapaian mata pelajaran.
- Peratus lulus penuh bagi empat dan lima mata pelajaran meningkat kepada 77.64 peratus, melibatkan 29,616 calon.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, peningkatan sebanyak 0.03 mata itu menjadikan PNGK STPM 2025 sebagai yang tertinggi sejak pelaksanaan sistem peperiksaan STPM 2013.
“Pencapaian tersebut juga menunjukkan peningkatan sebanyak 12.06 peratus berbanding PNGK 2.57 yang direkodkan pada tahun 2013.
“Sebanyak 1,336 calon atau 3.50 peratus daripada keseluruhan calon berjaya memperoleh PNGK 4.00, meningkat 70 orang berbanding tahun sebelumnya.
“Pada masa sama, peratusan longgokan calon yang memperoleh PNGK 3.75, 3.00, 2.75 dan 2.00 ke atas turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2024,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2025 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini.
Pencapaian calon cemerlang turut dapat dilihat menerusi peningkatan bilangan calon yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diambil.
“Seramai 60 calon memperoleh 5A dalam lima mata pelajaran berbanding 53 calon pada tahun lalu, manakala calon yang memperoleh 4A meningkat kepada 1,285 orang berbanding 1,228 orang pada tahun 2024.
“Selain itu, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh pada peringkat prinsipal bagi empat dan lima mata pelajaran meningkat kepada 77.64 peratus, melibatkan 29,616 calon, berbanding 76.55 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya lagi.
Daripada 38,144 calon yang menduduki peperiksaan, sebanyak 38,128 calon atau 99.96 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.
Manakala, dari segi prestasi mata pelajaran, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus.
Mata pelajaran Bahasa Arab dan Bahasa Tamil menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus berbanding tahun lalu, manakala Literature in English dan Bahasa Cina mencatatkan sedikit penurunan.
Dalam meraikan kecemerlangan, MPM turut mengiktiraf 18 pelajar terbaik STPM kebangsaan yang dipilih mengikut kategori, masing-masing menerima wang tunai RM1,000, plak penghargaan dan sijil anugerah.
“Yang terdiri daripada tujuh pelajar aliran sains, tujuh pelajar aliran sains sosial, seorang pelajar Orang Asli dan tiga pelajar berkeperluan pendidikan khas. Setiap penerima menerima wang tunai RM1,000, plak penghargaan serta sijil anugerah,” katanya.
MPM juga akan memberikan anugerah kepada seorang pelajar terbaik kebangsaan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2025 dan seorang pelajar terbaik kebangsaan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warganegara Asing (SKBMW) Tahun 2025.