
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pertubuhan Green Lung Malaysia menyarankan kerajaan agar mengambil tindakan lebih agresif terhadap pengiklanan, promosi, dan penajaan produk vape yang kini berleluasa di platform media sosial serta laman e-dagang.
- Perketatkan penguatkuasaan Akta 852 untuk membendung normalisasi vape di platform digital dan e-dagang.
- Ambil tindakan agresif terhadap pengiklanan, promosi, pempengaruh, dan penjualan dalam talian yang menyasarkan remaja.
- Pelaksanaan bersepadu antara KKM, MCMC, PDRM dan platform digital untuk memadam iklan haram serta lindungi kesihatan paru-paru generasi muda.
Green Lung menerusi kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) perlu diperketatkan bagi membendung ‘normalisasi’ penggunaan vape yang kini dipaparkan sebagai gaya hidup moden di alam maya.
“Sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuhkan Akta 852, Green Lung menggariskan keperluan mendesak untuk memantau secara berterusan platform digital termasuk TikTok, Instagram, Facebook, WhatsApp, dan Telegram.
“Kami menyeru tindakan lebih agresif terhadap pengiklanan dan promosi vape melalui media sosial dan pempengaruh yang mempunyai pengaruh besar terhadap anak muda.
“Penjualan secara dalam talian juga perlu dipantau secara rapi dan tindakan segera harus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Trend promosi agresif di media sosial dipercayai menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan mendadak penggunaan vape di negara ini.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), prevalens penggunaan rokok elektronik dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas melonjak daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023 peningkatan lebih tujuh kali ganda dalam tempoh sedekad.
Green Lung menyuarakan kebimbangan bahawa remaja kini memulakan tabiat ini tanpa menyedari risiko ketagihan nikotin dan kesan jangka panjang terhadap paru-paru kerana pengaruh visual yang menarik di media sosial.
Bagi memastikan kandungan jualan dan promosi haram ini dapat diturunkan dengan segera, Green Lung mencadangkan satu gerak kerja bersepadu melibatkan pelbagai agensi.
“Perlu ada tindakan penguatkuasaan yang lebih bersepadu antara Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penyedia platform digital.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan iklan yang menyalahi undang-undang dipadamkan dengan pantas.
“Apa yang lebih penting ialah memastikan Akta 852 dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara tegas sekarang bagi mengurangkan akses kepada vape serta membendung normalisasi penggunaannya.
“Perlindungan kesihatan paru-paru generasi masa hadapan tidak boleh ditangguhkan lagi,” tambah kenyataan itu.
Mengulas mengenai keputusan KKM untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pengecualian nikotin daripada Senarai Racun, Green Lung berpandangan perlindungan terhadap generasi muda tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada proses perundangan tersebut.