PEMADAM gesa kuat kuasa Akta 852, bendung penggunaan vape

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) menggesa kerajaan agar memberikan keutamaan kepada penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi membendung penularan penggunaan vape yang semakin membimbangkan, terutama dalam kalangan golongan muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebimbangan meningkat terhadap penggunaan vape, khususnya golongan muda, berdasarkan data NHMS menunjukkan lonjakan ketara.
  • Laporan trend penyalahgunaan vape termasuk pencampuran bahan psikoaktif dan dadah sintetik membahayakan kesihatan mental dan nyawa.
  • Perlukan penguatkuasaan lebih menyeluruh di platform digital, pemantauan kandungan produk, dan kerjasama KKM, PDRM serta MCMC.

PEMADAM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum dan menghormati keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun menerusi saluran perundangan yang sedia ada.

“Bagaimanapun, persatuan itu menegaskan bahawa daripada perspektif pencegahan dadah dan kesihatan awam, perkara yang lebih utama pada masa ini ialah memastikan segala usaha untuk membendung penggunaan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang terus diperkukuhkan.

PEMADAM menzahirkan kebimbangan terhadap data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang menunjukkan peningkatan ketara penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas.

“Penggunaan vape meningkat daripada hanya 0.8 peratus pada tahun 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun 2023. Peningkatan mendadak ini memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

“Lebih menggusarkan, laporan beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan trend penyalahgunaan vape dengan mencampurkan bahan psikoaktif dan dadah sintetik.

“Tindakan ini bukan sahaja menyebabkan ketagihan serius, malah mengundang risiko gangguan kesihatan mental dan kematian,” menurut kenyataan itu.

PEMADAM berpendapat vape bukan lagi sekadar isu nikotin, tetapi berpotensi menjadi medium penyalahgunaan bahan terlarang yang lebih kompleks dan berbahaya kepada masyarakat.

Bagi menangani isu tersebut, PEMADAM mengesyorkan pendekatan penguatkuasaan lebih menyeluruh, khususnya melibatkan platform digital dan media sosial.

“Tindakan tegas perlu diberikan terhadap penjualan vape secara dalam talian termasuk melalui media sosial, platform e-dagang, WhatsApp dan Telegram yang semakin sukar dikawal serta mudah diakses oleh golongan muda.

“Selain itu, pemantauan terhadap kandungan produk vape di pasaran juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada bahan terlarang disalahgunakan melalui produk tersebut,” tambah kenyataan itu.

Akta 852 menyediakan asas perundangan kukuh, namun keutamaan sekarang adalah memastikan penguatkuasaannya diperkasakan secara konsisten melalui kerjasama erat antara KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

PEMADAM turut mengingatkan bahawa tindakan pencegahan yang berkesan hari ini akan menentukan keselamatan serta kesejahteraan generasi muda pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.