PDRM tumpas dua hab barangan seludup, rampasan cecah RM12.8 juta

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan dua hab penyimpanan dan pengedaran barangan seludup dipercayai dari China menerusi Op Taring Alpha 2 dan Op Taring Alpha 5, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM12.8 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima suspek ditahan, termasuk dua warga asing dan tiga warga tempatan, berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an.
  • Serbuan menemui ribuan botol dan tin minuman keras serta lebih 52,000 produk makanan dan minuman dari China yang disyaki tidak mematuhi peraturan.
  • Premis di Klang didapati menjadi pusat pengumpulan bagi minuman keras, rokok tidak bercukai, produk kecantikan, aksesori telefon dan 260 pokok bonsai.
  • Siasatan mendapati barangan dibawa masuk menerusi pelabuhan dengan memalsukan maklumat dalam dokumen import.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, operasi berasaskan risikan itu membawa kepada penahanan lima individu, termasuk dua warga asing dan tiga warga tempatan, berusia antara 30 hingga 40-an.

Menurut beliau, operasi berkenaan turut membongkar rangkaian yang dipercayai membekalkan minuman keras serta pelbagai produk makanan yang disyaki melanggar peraturan dan undang-undang pasaran tempatan.

“Secara keseluruhannya, di bawah Op Taring Alpha 2 dan Alpha 5 yang dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur dan Klang, Selangor, telah merekodkan lima tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM12.8 juta,” katanya.

Dalam Op Taring Alpha 2, serbuan pada 5 Ogos lalu di dua premis sekitar Kuala Lumpur menemukan ribuan botol dan tin minuman keras, termasuk jenama Zhongpi Craft Beer.

Operasi itu turut menemukan lebih 52,000 produk makanan dan minuman dari China yang disyaki tidak mematuhi peraturan keselamatan makanan.

Nilai keseluruhan rampasan bagi Op Taring Alpha 2 dianggarkan RM5.1 juta.

Datuk Muhammad berkata, siasatan mendapati sebahagian besar barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan dengan memalsukan maklumat dalam dokumen import.

“Kebanyakan daripada barangan telah dibawa masuk menerusi pelabuhan dengan kaedah memalsukan maklumat, iaitu barangan yang dibawa adalah berbeza dengan dokumentasi yang telah dibuat,” katanya.

Sementara itu, menerusi Op Taring Alpha 5, serbuan di sebuah gudang di Klang berjaya membongkar hab penyimpanan minuman keras, rokok tidak bercukai, produk kecantikan, aksesori telefon, topi keledar serta 260 pokok bonsai yang diimport tanpa mematuhi syarat kuarantin tumbuhan.

Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan RM7.7 juta.

Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai menjadi pusat pengumpulan sebelum barangan tersebut diedarkan kepada kedai runcit, premis makanan dan pelanggan tempatan.

Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Kastam 1967, Akta Makanan 1983, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

PDRM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan Malaysia sebagai destinasi, laluan transit atau hab pengedaran barangan seludup dan kontraban.

Dalam tempoh 1 Januari hingga 21 Ogos tahun ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 242 serbuan di seluruh negara dan menahan 416 individu, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM314 juta.

Kejayaan itu disifatkan sebagai bukti keberkesanan kerjasama risikan serta penguatkuasaan bersepadu antara PDRM dan pelbagai agensi dalam usaha membanteras kegiatan jenayah terancang serta jenayah rentas sempadan.

“Ini membuktikan bahawa pendekatan yang diamalkan berteraskan risikan dan perkongsian maklumat membolehkan pelaksanaan operasi dijalankan dengan jayanya dan memberi impak menyeluruh dalam usaha kita untuk memerangi jenayah terancang dan juga jenayah rentas sempadan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.