
KOTA BHARU, 24 September – Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan tanpa membela diri pasangan suami isteri atas pertuduhan mengedar 81.77 gram dadah jenis syabu di Bachok, empat tahun lalu.
- Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
- Keputusan ujian DNA terhadap bungkusan dan jaket menunjukkan tiada kaitan DNA dengan kedua-dua tertuduh.
- Kediaman mudah diakses orang lain; keterangan saksi pendakwaan tidak mengaitkan tertuduh kedua dengan bahan terlarang.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Mokhtar selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Syed Mohamad Haizat Syed Hassan, 32, dan Nurul Syahira Zakaria, 30, secara bersama didakwa mengedar bahan terlarang tersebut di sebuah rumah di Batu 19, Kampung Badak, Bachok, pukul 11 pagi pada 20 Mac 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman mati jika sabit kesalahan dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan.
Azhar dalam alasan penghakiman terhadap kedua-dua tertuduh berkata, hasil ujian DNA pada bungkusan dadah yang ditemui dalam bakul motosikal di dapur rumah serta jaket yang digunakan untuk membungkus barangan terlarang itu adalah negatif daripada dikaitkan dengan kedua-dua tertuduh.
“Keadaan rumah tertuduh juga boleh dimasuki sesiapa sahaja sama ada menerusi pintu utama atau bahagian dapur.
“Malah tandas di rumah tertuduh sentiasa digunakan tiga pekerja kedai membasuh kereta yang terletak di sebelah rumah tertuduh,” ujarnya.
Bagaimanapun kesemua pekerja terbabit telah ditangkap dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Berdasarkan keterangan saksi yang dikemukakan pihak pendakwaan, tiada sebarang maklumat dapat mengaitkan tertuduh kedua, Nurul Syahira dengan dadah yang dijumpai,” jelas Azhar lagi.
Sehubungan itu katanya, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa perlu dipanggil membela diri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan, manakala tertuduh pertama iaitu Syed Mohamad Haizat diwakili peguam, Azrul Hashimi Mohammad dan Nurul Syahira diwakili Mohd Firdaus Zainal Abidin serta Mohd Zubairi Salleh.