339,640 batang rokok dirampas, warga emas ditahan

Foto REUTERS

PERAI, 24 September – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 339,640 batang rokok pelbagai jenama bernilai keseluruhan RM590,959 termasuk duti dan cukai dalam serbuan yang turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 70-an di Jelutong, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rokok disimpan dalam lima kenderaan yang diparkir di aras berbeza sebuah kondominium.
  • Semua kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
  • Rokok dipercayai diperoleh dari negeri jiran untuk diedarkan dalam pasaran tempatan; kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pengarah JKDM Pulau Pinang Hasbollah Din berkata lelaki itu ditahan ketika sedang memunggah rokok berkenaan sebelum dibawa ke lokasi lain.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati rokok terbabit disimpan dalam lima kenderaan yang diparkir di aras berbeza di sebuah kondominium di Jelutong.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua kenderaan tersebut telah dimuatkan sebanyak 339,640 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki sebagai barang larangan.

“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk duti dan cukai, dianggarkan berjumlah RM590,959 dan kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Hasbollah berkata kesemua kenderaan berkenaan turut menggunakan nombor pendaftaran palsu, dipercayai bagi mengelakkan kegiatan berkenaan dikesan pihak berkuasa.

Katanya, kesemua rokok berkenaan dipercayai diperoleh dari negeri jiran untuk diedarkan dalam pasaran tempatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.