Op Spark: Tiga premis di Labuan disyaki curi elektrik hingga tiga tahun

Foto FB Suruhanjaya Tenaga

LABUAN, 1 Oktober – Tiga premis di Labuan disyaki terlibat dalam kes kecurian elektrik antara dua hingga tiga tahun sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM80,000 kepada pihak utiliti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes dikesan menerusi Op Spark 2026 yang dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga bersama Sabah Electricity.
  • Pemeriksaan mendapati meter diusik termasuk pintasan menyebabkan bacaan penggunaan sebenar tidak direkodkan.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.
  • ST mengingatkan orang ramai jangan mengusik peralatan, laporkan sambungan mencurigakan; pemilik premis diminta memantau penyewa.

Kes itu dikesan menerusi Op Spark 2026 yang dilaksana Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama Sabah Electricity Sdn Bhd.

Pengarah Bahagian Pematuhan dan Penguatkuasaan ST, Ismail Zaili Yusop berkata, sebuah premis dipercayai melakukan kegiatan itu selama kira-kira dua tahun, manakala dua lagi sekitar tiga tahun.

Pemeriksaan mendapati terdapat unsur mengusik meter atau peralatan elektrik sehingga penggunaan sebenar tidak direkodkan dengan tepat.

“Antara kaedah yang dilakukan ialah pintasan yang menyebabkan meter gagal merekodkan penggunaan sebenar.

“Perbezaan antara penggunaan sebenar dengan jumlah yang direkodkan itulah yang menyebabkan kerugian kepada pihak utiliti,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kecurian elektrik bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pihak utiliti, malah mengakibatkan pelbagai kesan buruk lain.

Ini termasuk menjejaskan kebolehpercayaan bekalan, menyebabkan gangguan serta mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengusik meter atau peralatan elektrik milik penyedia utiliti, selain melaporkan sebarang sambungan atau aktiviti mencurigakan.

Pemilik premis yang menyewakan hartanah pula dinasihat memantau aktiviti penyewa serta membuat penukaran nama pemegang akaun bekalan elektrik.

Langkah itu penting bagi mengelak mereka dipertanggungjawabkan terhadap penggunaan elektrik secara haram di premis berkenaan.

ST akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta melindungi pengguna daripada risiko akibat penyalahgunaan bekalan elektrik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.