14 warga China disyaki ‘scammer’ ditahan di Kota Kinabalu

Facebook: Jabatan Imigresen Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 5 November- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 14 lelaki warga China yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi serbuan Op Serkap di sebuah rumah banglo tiga tingkat di kawasan kediaman elit di sini pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek memasuki negara menggunakan Pas Lawatan Sosial; umur antara 26 hingga 44 tahun.
  • Barang elektronik dan kemudahan internet ditemui, menunjukkan kegiatan penipuan dalam talian.
  • Disyaki melakukan kesalahan imigresen: tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas, dan gagal mengemukakan dokumen; ditahan untuk siasatan lanjut di Depot Imigresen.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 44 tahun itu memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial.

Menurutnya, mereka tiba di Sabah melalui laluan berbeza, dengan empat daripadanya transit di Kemboja, lima menggunakan penerbangan terus dari China, manakala lima lagi transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu.

Ketika serbuan, kesemua individu itu dikesan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian berdasarkan penemuan pelbagai peralatan komputer dan kemudahan internet di premis berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka disyaki melakukan beberapa kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Semakan dan siasatan awal mendapati mereka melakukan tiga kesalahan, iaitu tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c), menyalahgunakan pas di bawah Seksyen 39(B), dan seorang lagi tidak mempunyai atau gagal mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 6(1)(c),” katanya pada sidang media di Depot Imigresen Sandakan di sini hari ini.

Dalam operasi itu, pihak imigresen turut merampas wang tunai berjumlah RM3,742 dan 560 yuan, selain 14 komputer riba, 75 telefon bimbit serta satu set kelengkapan internet.

Kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.