
KUALA LUMPUR, 16 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 21 lelaki warga tempatan menerusi Op Pusak Merah di Sarawak pada Rabu.
- Siasatan awal mendapati suspek berumur 19 hingga 44 tahun dan mempunyai rekod jenayah seperti merusuh, mendatangkan cedera parah, samun, khianat dan jenayah dadah.
- Kesemua suspek ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah mulai 15 hingga 20 April 2026 untuk siasatan lanjut.
- Kejayaan operasi hasil kolaborasi Bahagian D9 JSJ Bukit Aman dan JSJ IPK Sarawak serta tindakan proaktif menumpaskan sindiket jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk M. Kumar Muthuvelu dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu menyasarkan kumpulan penjenayah yang bergiat aktif melakukan jenayah kekerasan melibatkan Kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan sejak tahun 2024.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek berumur antara 19 hingga 44 tahun dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau seperti merusuh, mendatangkan cedera parah, samun, khianat dan jenayah dadah.
“Kesemua suspek ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 15 hingga 20 April 2026 untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Datuk M. Kumar turu menegaskan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil kolaborasi Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman dan JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Ia juga hasil tindakan proaktif JSJ dalam melumpuhkan sindiket jenayah yang telah mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat. Selain itu, usaha mengesan beberapa lagi individu terlibat dengan rangkaian kumpulan tersebut sedang giat dijalankan.
PDRM akan terus memerangi individu atau kumpulan yang terlibat dengan kegiatan jenayah, gangsterisme termasuk jenayah kekerasan.
Masyarakat juga diseru supaya konsisten membantu pihaknya dengan menyalurkan sebarang maklumat bagi membanteras kegiatan itu dari terus berleluasa sekali gus menjamin keamaan dan kesejahteraan masyarakat.