
SAMARAHAN, 17 April – Seorang pelajar universiti warga Pakistan antara dua individu ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 1.09 kilogram dalam serbuan di Kota Samarahan, pada Khamis.
- Ditahan di sebuah pusat beli-belah, dua suspek berumur 23 dan 27 tahun.
- Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM3,285.
- Polis menemui bungkusan mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja.
- Saringan air kencing positif syabu dan benzodiazepine; kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Timbalan Penguasa Polis DSP Barry William berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 27 tahun itu ditahan di sebuah pusat beli-belah di daerah berkenaan.
Menurut beliau, nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM3,285.
“Dalam tangkapan di dua lokasi berasingan, polis turut menemui beberapa bungkusan plastik hitam dan lutsinar mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja.
“Siasatan awal mendapati suspek tempatan berusia 27 tahun mengaku telah menagih dadah sejak 2015, manakala suspek warga Pakistan menafikan sebarang penglibatan dalam kegiatan tersebut.
“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu dan benzodiazepine,” kata DSP Barry.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.