
KUALA LUMPUR, 17 April – Seramai 21 ahli kumpulan kongsi gelap yang disyaki terbabit dalam jenayah kekerasan ditahan menerusi Op Pusak Merah di sekitar Kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan, pada Khamis.
- Operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
- Semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah termasuk merusuh, menyebabkan cedera parah, samun, khianat dan kesalahan berkaitan dadah.
- Suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
- Mereka disiasat mengikut Seksyen 148, 326, 384, 394, 427 dan 436 Kanun Keseksaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar menerusi satu kenyataan memaklumkan, semua suspek lelaki berusia antara 19 hingga 44 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan.
Jelasnya, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
“Operasi ini menyasarkan kumpulan yang bergiat aktif melakukan kesalahan jenayah kekerasan di sekitar daerah berkenaan sejak 2024 hingga kini.
“Semakan awal mendapati semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes merusuh, mendatangkan cedera parah, samun, khianat serta kesalahan berkaitan dadah,” katanya.
Kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 20 April bagi membantu siasatan.
Datuk M. Kumar berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan memiliki senjata, serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan, serta Seksyen 427 dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut beliau, operasi itu merupakan usaha proaktif JSJ dalam melumpuhkan sindiket yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pemerasan dan rusuhan menggunakan senjata sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.
“Usaha mengesan serta menangkap beberapa individu yang dipercayai masih bebas dan mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan ini sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan berterusan akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah, gangsterisme dan jenayah kekerasan bagi memastikan keamanan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa.