
KUALA LUMPUR, 10 Jun– Op Motosikal (Extreme) diperhebat di seluruh negara susulan peningkatan trend pengubahsuaian motosikal secara ekstrem yang menjejaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya.
- Pengubahsuaian ekstrem: tayar tidak sesuai, tukar enjin, swing arm panjang, ekzos diubah, ECU dimatikan, ada yang tanggalkan brek belakang.
- Sehingga Mei, 252,118 notis kesalahan dikeluarkan dan lebih 300 motosikal disita di sekitar ibu negara.
- JPJ sedang perincikan aspek perundangan untuk ambil tindakan juga terhadap bengkel; tindakan tegas termasuk notis, penyitaan dan pendakwaan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memaklumkan, terdapat pengubahsuaian komponen penting dikesan dengan kos mencecah RM18,000.
Menurut beliau, kebanyakan penunggang yang terlibat berusia antara 18 hingga 30 tahun, namun terdapat juga kes membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun.
“Antara pengubahsuaian yang dikesan ialah penggunaan tayar bersaiz tidak sesuai, penukaran enjin, pemasangan swing arm panjang, pengubahsuaian ekzos serta mematikan sistem unit kawalan elektronik (ECU) untuk kelajuan maksimum.
Lebih membimbangkan, terdapat penunggang yang nekad menanggalkan brek belakang motosikal,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut Datuk Muhammad Kifli, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 252,118 notis kesalahan telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan.
Ia termasuk pengubahsuaian struktur asal secara tidak sah dan berbahaya.
Dalam tempoh sama, lebih 300 motosikal disita di sekitar ibu negara menerusi Op Motosikal (Extreme).
Beliau turut memberitahu, JPJ sedang memperincikan aspek perundangan bersama agensi berkaitan.
Inisiatif itu bagi membolehkan tindakan turut diambil terhadap pengusaha bengkel yang terlibat dalam pengubahsuaian motosikal secara tidak sah.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang.
Tindakan tegas termasuk pengeluaran notis, penyitaan kenderaan dan pendakwaan akan dilakukan,” tegasnya lagi.