
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Cadangan mewujudkan satu sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional berpotensi memperkukuh aspek keselamatan, pemantauan dan pengurusan aktiviti berkenaan.
- Sistem digital merekodkan pergerakan pendaki secara lebih sistematik dan membantu tindakan pantas pihak berkuasa waktu kecemasan.
- Pelaksanaan mempercepat proses pengesanan dan menyokong operasi mencari dan menyelamat supaya lebih berkesan.
- Pendaftaran kini dilakukan secara manual atau melalui platform dalam talian jabatan perhutanan negeri mengikut bidang kuasa negeri.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata sistem itu dapat merekodkan pergerakan pendaki secara lebih sistematik, selain membantu pihak berkuasa bertindak pantas ketika kecemasan.
“Pelaksanaan sistem sedemikian boleh mempercepatkan proses pengesanan sekiranya berlaku kecemasan serta menyokong operasi mencari dan menyelamat (SAR) supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini.
Jelasnya lagi, pada masa ini pendaftaran aktiviti pendakian, terutama di kawasan hutan simpan kekal, dilaksanakan sama ada secara manual atau menerusi platform dalam talian yang diuruskan jabatan perhutanan negeri.
Kaedah berkenaan selaras dengan bidang kuasa kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengeluarkan permit bagi kemasukan ke kawasan hutan simpan kekal.