
KOTA KINABALU, 23 Jun – Kerajaan akan terus memperluas pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memudahkan penerima bantuan mendapatkan barangan keperluan melalui penggunaan MyKad.
- Kira-kira 13,500 kedai telah berdaftar, termasuk lebih 6,500 kedai runcit di seluruh negara.
- Kerajaan mensasarkan 10,000 kedai runcit menyertai program SARA di seluruh negara pada masa akan datang.
- Lebih 150,000 jenis barangan boleh ditebus menerusi program SARA di seluruh negara.
- SARA membantu golongan memerlukan dan memberi manfaat kepada usahawan tempatan meningkatkan jualan barangan mereka.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sehingga kini kira-kira 13,500 kedai telah berdaftar di bawah program itu di seluruh negara termasuk lebih 6,500 kedai runcit.
Kerajaan menyasarkan peningkatan jumlah kedai runcit yang menyertai program SARA kepada 10,000 premis di seluruh negara pada masa akan datang.
“SARA bukan sahaja membantu golongan memerlukan malah memberi manfaat kepada usahawan tempatan memasarkan barangan mereka. Usaha ini menyenangkan rakyat yang berkelayakan untuk mendapatkan SARA,” jelas beliau selepas meninjau pelaksanaan SARA di Manggatal.
Tambah Datuk Seri Amir, sehingga kini lebih 150,000 jenis barangan boleh ditebus menerusi program SARA di seluruh negara.
“Kalau kita tengok kedai yang disediakan, ia juga membantu usahawan tempatan untuk menjual barangannya kerana jika barang itu tersenarai di bawah SARA, lebih banyak dan lebih laris jualannya,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 1,493 kedai di seluruh Sabah telah berdaftar di bawah program itu meliputi kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Terdahulu, Datuk Seri Amir juga mengadakan lawatan ke sebuah stesen minyak di Jalan Tuaran Bypass.