
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Peruntukan RM22 juta diluluskan bagi melengkapkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan senjata api serta kelengkapan bersesuaian bagi memperkukuh aspek keselamatan anggotanya.
- Perdana Menteri memberi kelulusan segera susulan keperluan mendesak meningkatkan keupayaan AKPS.
- Langkah bertujuan mengelakkan berulangnya insiden tembakan terhadap komander AKPS di Bukit Kayu Hitam.
- AKPS melibatkan anggota pelbagai agensi; sebahagian tidak mempunyai latihan atau kemahiran menggunakan senjata api.
- Penubuhan AKPS mengurangkan kerenah birokrasi, risiko integriti serta menyumbang kepada rampasan dadah dan pembongkaran e-waste.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kelulusan segera susulan keperluan mendesak untuk meningkatkan keupayaan agensi berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu juga bertujuan mengelakkan insiden tembakan ke atas kenderaan yang dinaiki seorang komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Februari lalu daripada berulang.
“AKPS terdiri daripada beberapa agensi yang sebelum ini tidak mempunyai kemahiran menggunakan senjata api. Jika melibatkan komponen polis, sudah tentu mereka mempunyai kemahiran tersebut.
“Namun terdapat juga anggota daripada agensi lain yang tidak mempunyai latihan atau kemahiran menggunakan senjata api. Walau bagaimanapun, saya telah mengemukakan perkara ini dan Perdana Menteri telah memberikan kelulusan serta-merta berserta peruntukan sebanyak RM22 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat.
Menyentuh aspek integriti, Datuk Seri Saifuddin berkata penubuhan AKPS berjaya mengatasi kerenah birokrasi serta mengurangkan risiko integriti yang wujud sebelum ini ketika pengurusan kawalan sempadan melibatkan lebih 20 agensi.
Katanya, dalam tempoh tahun pertama operasinya, AKPS mencatat beberapa kejayaan termasuk rampasan besar dadah bernilai puluhan juta ringgit di Lapangan Terbang Pulau Pinang serta membongkar kegiatan penyeludupan sisa elektronik (e-waste) di pelabuhan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan.