33 kes ceroboh Hutan Simpan Kekal di Kelantan direkodkan sejak awal 2025

Antara rampasan hasil hutan dalam operasi penguatkuasaan aktiviti pencerobohan hutan. Foto RTM

KOTA BHARU, 10 Jun – Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) merekodkan 33 kes pencerobohan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sepanjang tahun 2025 hingga Mac 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga kesalahan utama dikesan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984: memasuki hutan tertutup tanpa permit, pencerobohan untuk penerokaan, dan pengambilan kayu tanpa izin.
  • Rampasan barang termasuk ratusan batang kayu bernilai tinggi, jengkaut, jentolak, lori muatan, pacuan empat roda, gergaji rantai, pam air dan generator.
  • Operasi penguatkuasaan dilaksanakan di beberapa daerah seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai serta melibatkan beberapa tangkapan termasuk warga asing.
  • JPNK akan memperketatkan rondaan dan tindakan undang-undang tanpa kompromi untuk melindungi Hutan Simpan Kekal.

Pengarah JPNK Mohd Rahim Ramli, berkata daripada jumlah itu sebanyak 24 kes direkodkan sepanjang tahun 2025, manakala sembilan kes lagi dikesan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

“Dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan, sebanyak tiga kesalahan utama dikesan melibatkan pelanggaran Akta Perhutanan Negara 1984.

“Antara kesalahan dikenal pasti, memasuki kawasan hutan tertutup tanpa permit yang sah di bawah Seksyen 47, menceroboh untuk tujuan menduduki atau membuka tanah secara haram bagi aktiviti pertanian dan pembinaan di bawah Seksyen 32, serta mengambil, menebang dan mencuri hasil kayu balak tanpa kebenaran di bawah Seksyen 81 dan 15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto RTM

Menurutnya lagi, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang tahun 2025 hingga Mac lalu, pihaknya turut menyita pelbagai hasil hutan dan aset logistik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pencerobohan terbabit.

“Antara barangan yang dirampas termasuk ratusan batang tual, kayu sedia dan kayu jaras daripada pelbagai spesies bernilai tinggi yang mempunyai nilai komersial di pasaran.

“Turut dirampas, puluhan unit jengkaut, jentolak, lori muatan serta kenderaan pacuan empat roda selain gergaji berantai, pam air dan set generator,” tambahnya.

Rampasan tersebut dibuat melalui operasi penguatkuasaan di beberapa daerah termasuk Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai yang turut melibatkan beberapa tangkapan termasuk warga asing.

Menurut beliau lagi, pihaknya akan terus memperkukuhkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kawasan HSK di Kelantan terus terpelihara daripada sebarang aktiviti pencerobohan dan penerokaan haram.

Dalam kenyataan tersebut beliau turut menegaskan, JPNK tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau organisasi yang cuba merosakkan khazanah hutan negara.

Operasi penguatkuasaan dan rondaan berkala akan terus diperketatkan dan tindakan tegas di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 akan dikenakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.