Op Middleman: SPRM beku 59 akaun, tahan 18 individu

Tan Sri Azam pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM/RTM

PUTRAJAYA, 4 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 59 akaun individu dan syarikat berjumlah RM4.69 juta susulan siasatan kegiatan tonto haram yang melindungi kenderaan perdagangan lebih muatan menerusi Op Middleman.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM membekukan 59 akaun bernilai RM4.69 juta berkaitan siasatan tonto haram dan kenderaan perdagangan lebih muatan.
  • Transaksi RM12.4 juta dikesan dipercayai melibatkan rasuah antara tonto, syarikat pengangkutan dan pegawai penguat kuasa.
  • 18 individu ditahan termasuk pegawai JPJ, anggota polis trafik, pemilik syarikat, tonto dan pemilik akaun keldai.
  • Sitaan termasuk wang tunai, 25 kenderaan mewah, barang kemas, telefon bimbit dan walkie-talkie; siasatan diteruskan menyeluruh.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini siasatan mengesan transaksi RM12.4 juta dipercayai mempunyai unsur rasuah, melibatkan tonto, syarikat pengangkutan serta pegawai penguat kuasa.

“Seramai 18 individu telah ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, empat anggota polis trafik, dua pemilik syarikat, tujuh tonto dan seorang pemilik akaun keldai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Dalam operasi yang dijalankan sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, SPRM turut menyita wang tunai, 25 kenderaan mewah, barang kemas, 27 telefon bimbit serta 41 unit walkie-talkie yang dipercayai digunakan bagi memudahkan kegiatan tersebut.

Jumlah keseluruhan pembekuan dan sitaan dianggarkan mencecah RM7.7 juta.

Bagi suspek awam dan tonto, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala pegawai kerajaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) akta yang sama.

Tan Sri Azam menjelaskan, modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan rasuah kepada penguat kuasa sebagai balasan untuk melindungi lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya, termasuk membawa muatan berlebihan.

SPRM menegaskan siasatan akan diteruskan secara menyeluruh, termasuk meneliti akaun digital serta kemungkinan penglibatan pihak lain. Operasi sama juga tidak ditolak untuk diperluas ke negeri-negeri lain.

Tegasnya, SPRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa, serta akan terus memburu saki-baki individu yang terlibat.