
ALOR SETAR, 4 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman dua pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM39,000.
- Dua pegawai penguat kuasa direman enam hari disyaki terima rasuah berkaitan kelulusan permit kerja warga asing.
- Jumlah rasuah dianggarkan RM39,000; RM4,000 dipindah ke akaun suspek, baki RM35,000 masih dalam proses.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009; siasatan lanjut untuk kenal pasti penglibatan individu lain.
Rasuah itu dipercayai sebagai balasan bagi mendapatkan kelulusan permit kerja warga asing untuk sebuah syarikat yang beroperasi di Kedah.
Perintah reman selama enam hari sehingga 9 Mac terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi. Perintah reman tersebut dibenarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan bersama seorang lagi lelaki yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Bagaimanapun, suspek yang dipercayai orang tengah itu telah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara Januari hingga Februari 2026 dengan meminta wang rasuah daripada ejen syarikat melalui orang tengah.
Mereka disyaki menerima wang rasuah permulaan kira-kira RM4,000 menerusi pindahan ke akaun bank masing-masing, manakala baki RM35,000 masih dalam proses berkaitan permohonan permit warga asing.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat.