Oman dikenakan sekatan jika bantu laksana tol di Selat Hormuz

Sekatan akan turut dikenakan terhadap pihak lain yang terlibat dalam tindakan sedemikian/  Foto REUTERS

WASHINGTON, 29 Mei -Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent mengancam untuk mengambil tindakan terhadap sekutu Washington, Oman, jika negara itu membantu melaksanakan sistem tol di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Washington memperluas ancaman sekatan terhadap sesiapa terlibat memudahkan kutipan tol, mendakwa sokongan atau perkhidmatan kepada Pengawal Revolusi Iran menimbulkan risiko.
  • Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas "Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi" milik Iran yang mengutip bayaran bagi kapal melalui Selat Hormuz.
  • Ketegangan meningkat, insiden terbaru paling serius sejak gencatan senjata; rundingan tidak langsung antara AS dan Iran berjalan tanpa keputusan setakat ini.

Beliau memberi amaran tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha untuk mengenakan caj di laluan strategik itu — merujuk kepada cadangan Iran untuk berbuat demikian sebagai sebahagian daripada potensi perjanjian dengan AS.

Washington turut memperluas ancaman sekatan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tindakan sedemikian dengan mendakwa mereka mungkin memberi sokongan dan menerima perkhidmatan daripada Pengawal Revolusi Iran, sekali gus terdedah kepada risiko sekatan.

“Oman khususnya perlu tahu bahawa Perbendaharaan AS akan menyasarkan secara agresif mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memudahkan kutipan tol di selat itu, dan mana-mana rakan yang sanggup bekerjasama akan dikenakan penalti,” kata Bessent dalam satu hantaran di platform X.

Ancaman Bessent pada Khamis dibuat beberapa jam selepas Perbendaharaan AS mengenakan sekatan terhadap “Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi” milik Iran, agensi baharu Tehran yang mengutip bayaran bagi kapal yang melalui selat berkenaan.

Oman merupakan pengantara rundingan antara AS dengan Iran di Geneva sebelum perang tercetus, namun negara itu tidak terlepas daripada menjadi sasaran serangan.

Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump dilihat mengancam Oman apabila ditanya mengenai kemungkinan pengaturan jangka pendek yang membolehkan Oman dan Iran mengawal Selat Hormuz.

Trump berkata beliau akan memusnahkan mereka, jika Muscat berbuat demikian.

White House tidak memberikan respons segera apabila agensi berita AFP meminta penjelasan sama ada Trump tersasul dan sebenarnya merujuk kepada Iran, bukannya sekutu AS itu, Oman.

AS dan Iran saling menuduh melanggar gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.

Insiden berbalas serangan terbaharu adalah yang paling serius sejak Washington dan Tehran bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada April.

Kedua-dua negara telah terlibat dalam rundingan tidak langsung selama beberapa minggu melalui pihak pengantara bagi menamatkan konflik, namun setakat ini masih belum mencapai sebarang hasil. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.