Lelaki didakwa bunuh warga emas di Julau

FOTO IPD JULAU

SARIKEI, 4 Mac – Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sarikei hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas dalam kejadian di Sungai Rau, Entabai, Julau, Februari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki tempatan, 43, didakwa membunuh warga emas di Julau pada Februari lalu.
  • Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302, berdepan hukuman mati atau penjara panjang dan sebatan.
  • Tuduhan tambahan termasuk ugutan jenayah terhadap anak mangsa dan melepaskan tembakan di luar lokasi dibenarkan.
  • Mahkamah tidak menawarkan jaminan; sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mei 2026.

Tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap anak mangsa serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan selain di padang tembak yang dibenarkan.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes tersebut merupakan kesalahan tidak boleh dijamin. Tertuduh kekal dalam tahanan sementara menunggu prosiding seterusnya.

Majistret Stella Augustine Druce menetapkan 5 Mei 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aiman Zarith Zahrulail.

Dalam kejadian 24 Februari lalu, mangsa yang dikenali sebagai Vincient Anak Belingau, 69 tahun, maut selepas mengalami kecederaan parah akibat kesan tembakan pada bahu kanan.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham apabila mangsa sebelum ini menegur suspek agar tidak bermain senjata api di kawasan rumah panjang serta mengugut untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis.