
BACHOK, 10 September- Maklumat daripada klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) membantu polis membongkar dan menjejaki anggota sindiket dadah, termasuk membawa kepada kejayaan beberapa operasi serbuan dan tangkapan.
- Sebahagian klien PUSPEN memiliki maklumat berguna berdasarkan pengalaman lama mereka dalam penyalahgunaan bahan terlarang.
- Perkongsian maklumat antara PDRM dan AADK perlu diperkukuh untuk gerak selari pengurangan bekalan dan permintaan.
- Risikan mengambil berbulan untuk mengesan prekursor, lokasi transit dan makmal haram sebelum serbuan bagi membongkar seluruh rangkaian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata sebahagian klien PUSPEN mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah berdasarkan pengalaman mereka yang telah lama terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang.
Katanya, perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu diperkukuh, dengan PDRM memberi tumpuan kepada pengurangan bekalan manakala AADK kepada pengurangan permintaan.
“Perkongsian ini sudah lama berlaku, sama ada melalui pegawai AADK atau pegawai polis sendiri yang masuk ke PUSPEN. Ada maklumat yang berjaya membantu kami menjejaki ahli-ahli sindiket berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan strategik ke PUSPEN Bachok di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Hussein berkata pihaknya mengambil masa sehingga berbulan-bulan untuk menjalankan risikan bagi memastikan keseluruhan rangkaian sindiket dadah termasuk lokasi makmal haram dikenal pasti sebelum serbuan dilakukan.
Menurutnya, tindakan terlalu awal boleh menyebabkan polis hanya berjaya menahan seorang atau dua individu termasuk pengangkut, sedangkan kedudukan sebenar makmal dadah dan anggota sindiket lain masih belum dikenal pasti.
“Ini semua mengambil masa, kadang-kadang berbulan, sehingga kita pasti apa yang mereka lakukan itu adalah makmal dadah haram dan mengenal pasti individu-individu yang terlibat. Barulah sampai masa kita akan buat serbuan dan juga tangkapan.
“Kalau kita buat lebih awal daripada itu, macam premature lah. Kita cuma akan dapat satu dua orang ataupun transporter mereka dan kita mungkin tak dapat bongkar kedudukan makmal dadah haram yang sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan JSJN Bukit Aman membongkar sindiket memproses dadah yang menjadikan sebuah premis di kawasan perindustrian di Bandar Puncak Alam sebagai makmal.