AADK cadang ujian urin juruterbang, kru penerbangan sebulan sekali

Datuk Ruslin Jusoh/ RTM

BACHOK, 10 September- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mencadangkan ujian urin secara rambang terhadap juruterbang dan kru penerbangan dilaksanakan sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dalam sektor penerbangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • AADK akan bincang kerjasama lebih erat dengan Malaysia Aviation Group melalui MoU dijangka ditandatangani bulan depan.
  • Kerjasama sedia ada akan diperkatakan dan kekerapan saringan boleh dipendekkan untuk kes tertentu.
  • MAG mempunyai hospital dan klinik panel serta doktor terlatih; AADK lihat ujian rambang sebagai langkah tambahan pencegahan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata cadangan itu akan dibincangkan menerusi kerjasama lebih erat antara AADK dan Malaysia Aviation Group (MAG) termasuk melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dijangka ditandatangani bulan depan.

“Sebenarnya kerjasama kita sudah dibuat sebelum ini tetapi secara berkala. Mungkin kali ini kita kerapkan sedikit. Kita cadangkan sebulan sekali dan tiada masalah untuk dilaksanakan, tetapi jika ada keperluan, bagi kes-kes tertentu kita boleh pendekkan lagi tempoh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan strategik ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok di sini hari ini.

Datuk Ruslin berkata ketika ini MAG mempunyai hospital dan klinik panel serta doktor terlatih untuk menjalankan ujian urin, namun AADK melihat keperluan melaksanakan ujian secara rambang sebagai langkah tambahan.

Mengenai saringan yang sedang dijalankan terhadap juruterbang, beliau berkata proses itu dijangka selesai pada 15 September ini.

Setakat ini, pihaknya menerima laporan bahawa lebih 1,000 juruterbang yang terlibat dalam saringan berkenaan didapati negatif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.