RCI TH: Bekas menteri akan didakwa Isnin depan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman./ BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 September – Seorang bekas menteri akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Isnin depan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM mendapat keizinan Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
  • Bekas menteri itu mempunyai kaitan dengan aset di Arab Saudi.
  • Lima individu telah didakwa susulan penemuan laporan RCI TH, termasuk bekas pengerusi dan bekas pegawai kanan TH.
  • Beberapa kertas siasatan masih berjalan, proses memerlukan bantuan perundangan antarabangsa dan pengumpulan dokumen asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya telah mendapat keizinan Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan tiga pertuduhan terhadap bekas menteri berkenaan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

“Pihak kami mengesyorkan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang, dan kes itu telah diberikan keizinan oleh pihak Peguam Negara bagi pihak kami meneruskan pertuduhannya dan pertuduhan akan dilakukan pada hari Isnin depan 14 September di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Beliau berkata bekas menteri itu turut mempunyai kaitan dengan aset di Arab Saudi.

Setakat ini katanya, lima individu telah didakwa di mahkamah susulan penemuan laporan RCI TH, membabitkan bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties Sdn Bhd, bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan TH Properties Sdn Bhd, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Maritim Sdn Bhd serta bekas Ketua Pegawai Operasi TH.

Menurutnya, daripada 14 kertas siasatan yang dibuka SPRM sebelum ini, enam telah diselesaikan dengan dua daripadanya membawa kepada pertuduhan, manakala empat lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

“Lapan lagi kertas siasatan adalah inisiatif SPRM daripada hasil penemuan laporan RCI TH, dengan pihaknya memperakukan siasatan terhadap pelaburan yang didapati meragukan dan mengecewakan.

“Setakat ini, kita telah perakukan tiga termasuk yang akan didakwa Isnin ini, selebihnya masih dalam proses kerana melibatkan entiti luar negara seperti Arab Saudi dan Singapura,” katanya.

Datuk Seri Abd Halim berkata proses itu mengambil masa kerana SPRM perlu melalui proses bantuan perundangan bersama, mendapatkan dokumen daripada pihak luar negara dan merakam percakapan.

Terdahulu, SPRM melepaskan bekas menteri itu selepas direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan RCI TH.

SPRM sebelum ini turut menahan reman bekas Pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) bagi membantu siasatan berhubung isu sama.

Pada 14 Ogos lalu, tujuh individu termasuk seorang wanita terdiri daripada seorang CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH turut ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan isu sama.

Laporan RCI TH yang didedahkan pada 29 Julai lalu mengemukakan 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.