Enam sindiket dadah tumpas dalam tujuh serbuan di KL, Selangor

Polis Selangor merampas 117.54 kilogram MDMA, 135.4 kilogram bunga ganja, 4.94 kilogram pil ekstasi, 1.019 kilogram foil berisi pil Erimin 5 dan 444 gram ketamin

SHAH ALAM, 10 September – Polis Selangor menumpaskan enam sindiket pengedaran dadah dalam tujuh serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur antara 19 hingga 26 Ogos lalu, dengan nilai rampasan keseluruhan RM31.53 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menahan 14 suspek, berumur 20 hingga 39 tahun.
  • Suspek terdiri daripada lima warga tempatan dan sembilan warga asing.
  • Rampasan termasuk MDMA, bunga ganja, pil ekstasi, pil Erimin 5 dan ketamin.
  • Sebelas suspek dituduh di bawah Seksyen 39B ADB; seorang disiasat di bawah LLPK; dua dibebaskan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata operasi itu membawa kepada penahanan 14 suspek berusia antara 20 hingga 39 tahun, terdiri daripada lima warga tempatan dan sembilan warga asing.

“Tiga kes pertama membabitkan warga asing yang bertindak sebagai keldai dadah, manakala tiga lagi berkaitan kegiatan penyimpanan dan pengedaran dadah.

“Enam kumpulan sindiket ini berbeza dan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Antara dadah dirampas ialah 117.54 kilogram MDMA, 135.4 kilogram bunga ganja, 4.94 kilogram pil ekstasi, 1.019 kilogram foil berisi pil Erimin 5 dan 444 gram ketamin.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 912,876 pengguna pada suatu-suatu masa.

Seramai 11 suspek telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya ( ADB) Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, manakala dua lagi dibebaskan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Shazeli turut mengesahkan penahanan tiga daripada tujuh individu yang diburu berhubung kes pergaduhan maut di Taman Alam Megah, Shah Alam.

Ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan di sekitar Shah Alam antara 4 hingga 7 September lalu.

“Ketiga-tiga suspek akan dituduh dalam masa terdekat, manakala polis masih memburu empat lagi suspek yang terlibat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.