Kes tembak mati petani: Lelaki tempatan ditahan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar / Foto RTM

SHAH ALAM, 10 September – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang petani di Teluk Bunut, Banting, Kuala Langat pada 8 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa, seorang petani berusia kira-kira 52 tahun, ditemui mati dengan kesan tembakan di hadapan sebuah rumah.
  • Rumah tersebut disewa anak mangsa dan tidak berpenghuni ketika kejadian.
  • Motif belum ditentukan, tiada saksi mata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditahan di sekitar Banting malam tadi dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

“Kami masih belum dapat memastikan sama ada lelaki berkenaan adalah suspek utama atau sebaliknya.

“Namun, tangkapan ini akan dapat membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia kira-kira 52 tahun ditemukan mati dengan kesan tembakan di hadapan sebuah rumah di Teluk Bunut, Banting.

Datuk Shazeli berkata, rumah berkenaan bukan milik mangsa, sebaliknya rumah yang disewa anaknya dan tidak berpenghuni.

Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai kejadian antara pukul 11 hingga 11.15 malam, manakala kejadian dipercayai berlaku antara 10.30 hingga 11 malam.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai petani mengalami kecederaan akibat terkena lebih daripada satu das tembakan, namun tahap kecederaan masih menunggu laporan bedah siasat.

“Motif kejadian belum dapat ditentukan kerana tiada saksi mata dan kejadian berlaku lewat malam,” jelasnya.

Datuk Shazeli berkata, polis juga belum dapat mengenal pasti hubungan antara suspek dengan mangsa, manakala pekerjaan suspek masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.