
ROMPIN, 19 September – Lima pelajar lelaki dari sebuah sekolah menengah agama di Bukit Ibam, di sini ditahan selepas disyaki memukul pelajar dalam kejadian di asrama sekolah pada 12 September lalu.
- Polis menerima dua laporan berkaitan kejadian sejak 17 September.
- Dua mangsa tingkatan dua dipanggil ke bilik asrama pada 12.01 tengah malam dan kemudian dipukul, mengalami kecederaan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan; suspek ditangkap dan diberikan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber dalam kenyataan memaklumkan, mereka terdiri daripada tiga pelajar tingkatan tingkatan lima dan dua pelajar tingkatan empat.
“Setakat ini polis telah menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu sejak 17 September lalu.
“Hasil siasatan mendapati, dua pelajar masing-masing tingkatan dua yang merupakan mangsa telah dipanggil ke bilik asrama oleh kelima-lima suspek pada pukul 12.01 tengah malam.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa pertama didakwa ponteng kuliah agama dan mangsa kedua, bersubahat,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua mangsa kemudian dipukul kesemua suspek dan mengalami kecederaan.
Kesemua suspek sudah ditangkap dan diberikan jaminan polis sementara siasatan diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.