Isu baja Kedah: 37 saksi dirakam percakapan

Datuk Seri Abd Halim Aman /RTM

KAJANG, 19 September — Perkembangan semasa beberapa kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini memasuki fasa pendakwaan, serta siasatan lain berada di peringkat akhir dan diteruskan mengikut proses perundangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan kelewatan bekalan baja Kedah hampir dimuktamadkan; 37 saksi sudah dirakam termasuk Menteri Pertanian dan Ketua Setiausaha
  • Siasatan mendapati kekurangan 282,360 beg baja daripada 616,015 beg sepatutnya dibekalkan
  • SPRM mengesahkan elemen jenayah ditemui; siasatan fokus penggunaan dokumen palsu mengikut Seksyen 471 dan pemanggilan saksi lanjut

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata perkembangan itu melibatkan pertuduhan yang telah difailkan, syor pendakwaan kepada Jabatan Peguam Negara serta siasatan yang hampir dimuktamadkan.

Jelasnya, SPRM memaklumkan siasatan berhubung kelewatan bekalan baja di Kedah kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh satu hingga dua minggu.

Siasatan yang bermula pada 26 Ogos itu melibatkan pelantikan sebuah syarikat pembekal baja di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Setakat ini, 37 saksi telah dirakam percakapan, termasuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, pada 16 September serta Ketua Setiausaha kementerian sehari sebelumnya.

Datuk Seri Abd Halim berkata SPRM akan memanggil beberapa lagi saksi bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan berkaitan penggunaan dokumen yang diketahui atau dipercayai palsu.

Beliau turut mengesahkan siasatan turut menemukan elemen jenayah, selain isu berkaitan tadbir urus, namun SPRM ketika ini memberi tumpuan kepada aspek kriminaliti.

Siasatan awal mendapati syarikat pembekal sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, namun sehingga September hanya 333,655 beg diserahkan, menyebabkan kekurangan sebanyak 282,360 beg baja.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kajang hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sehingga 18 September, SPRM telah mendakwa enam individu membabitkan lapan isu utama hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Antara yang didakwa termasuk bekas pengerusi, pegawai pengurusan kanan TH, pegawai syarikat berkaitan serta bekas menteri.

Beliau turut mengesahkan SPRM telah menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada bekas Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dan ahli keluarga terdekatnya, termasuk anak-anak, mengikut peruntukan undang-undang.

“Borang tertentu telah diberikan kepada mereka bagi tujuan pengisytiharan dan pelaporan harta kepada SPRM, dengan tempoh sehingga sebulan untuk dikemukakan,” katanya.

Pada 9 September lalu, Datuk Seri Abdul Azeez dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

Dalam masa sama, SPRM masih meneruskan lima lagi kertas siasatan berkaitan isu Abraj, Urusharta Jemaah Sdn. Bhd., Al-Faizin, Deru Bersemangat dan pemberian bonus.

Bagi siasatan Op Fella, SPRM membuka tujuh kertas siasatan melibatkan pembelian dan pelaburan aset FELDA serta FELDA Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB) bagi tempoh 2010 hingga 2020.

Setakat ini, 34 saksi telah dirakam percakapan, termasuk bekas ahli Lembaga Pengarah FELDA dan FICSB, pengurusan FELDA, jurunilai bebas, firma guaman serta beberapa agensi kerajaan.

Datuk Seri Abd Halim turut mengesahkan rakaman keterangan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, telah bermula di Penjara Sungai Buloh pada 17 September dan akan diteruskan minggu hadapan bagi melengkapkan siasatan.

Daripada tujuh kes itu, SPRM kini memberi keutamaan kepada siasatan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang didakwa membabitkan penyelewengan.

Beliau berkata siasatan KLVC telah selesai selepas keterangan 30 saksi diperoleh dan SPRM akan memperakukan pertuduhan terhadap dua individu yang ditahan sebelum ini, iaitu bekas Pengarah Besar FELDA dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB.

“Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan izin pendakwaan sebelum pertuduhan difailkan di mahkamah,” katanya.

Mengulas mengenai susulan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terhadap siasatan 1MDB, Datuk Seri Abd Halim menegaskan setiap kes disiasat berdasarkan fakta dan aduan masing-masing.

Beliau berkata semua siasatan berkaitan 1MDB yang masih belum selesai akan diteruskan mengikut proses perundangan sedia ada dan status siasatan kekal tanpa sebarang perubahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.