
SHAH ALAM, 14 Ogos – Seorang lelaki tempatan cedera parah pada tangan kiri selepas dipercayai ditetak dengan parang dalam pergaduhan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Kemuning, Sri Muda, di sini, pagi semalam.
- Dua suspek lelaki dipercayai menggunakan objek menyerupai pistol semasa kejadian.
- Mangsa berusia 38 tahun sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
- Polis siasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 326 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960; orang ramai diminta hubungi ASP Shamsiah di talian 012-8308706.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Abdul Samah berkata, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu dipercayai membabitkan dua penyerang lelaki tempatan yang turut menggunakan objek menyerupai pistol.
“Mangsa berusia 38 tahun kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi kecederaan parah yang dialami di tangan kirinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan objek yang menyerupai senjata api.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706.