
DUNGUN, 14 Ogos – Seorang guru maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh sebuah lori sebelum terbakar di Kilometer 357, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), awal pagi tadi.
- Lori dipercayai terbabas lalu melanggar penghadang di KM357 LPT2; motosikal dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kiri lori itu.
- Motosikal terbakar selepas rempuhan; kebakaran dipadam oleh anggota Bomba AMBS Dungun.
- Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun; polis menyiasat punca dan identiti, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mangsa, Mohd Fahimi Yaacob, 41, dari Kampung Jerong Surau, Marang, merupakan guru di Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Kuala Dungun.
Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan, Pahang.
Siasatan awal polis mendapati lori yang membawa muatan barangan kurier dipercayai terbabas sebelum melanggar besi penghadang di sebelah kiri lebuh raya.
Motosikal mangsa yang datang dari arah belakang kemudian dipercayai gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang kiri lori itu.
Rempuhan menyebabkan motosikal terbakar sebelum kebakaran dipadamkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun.
Pemandu lori berusia 37 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.