
KUANTAN, 14 September – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dilaporkan terjatuh di Air Jeram Leleh, Bukit Ibam, Rompin, pagi tadi.
- Mayat Muhammad Azreen Othman, 25, ditemukan kira-kira enam meter dari lokasi dilaporkan terjatuh.
- Operasi SAR memasuki hari kedua, membabitkan 19 anggota BBP Muadzam Shah bersama jentera dan PPDA.
- PKO BBP Muadzam Shah bersama PPDA melakukan selaman pada 8.30 pagi dan menemui mangsa kira-kira 20 minit kemudian; mayat diserahkan pihak polis.
Mayat mangsa, Muhammad Azreen Othman, 25, ditemukan Pasukan Penyelamatan Dasar Air (PPDA) kira-kira enam meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini.
Katanya, operasi membabitkan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bersama jentera.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Muadzam Shah bersama PPDA melakukan selaman pada pukul 8.30 pagi dan menemui mangsa kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Semalam, mangsa dari Felda Keratong 9 dilaporkan terjatuh dan disyaki lemas di Air Jeram Leleh, Bukit Ibam, kira-kira pukul 4.30 petang.
Balai Polis Bukit Ibam menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 5 petang sebelum BBP Muadzam Shah digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi SAR.