
SHAH ALAM, 14 September – Sebanyak 48 pasukan sekolah bawah 15 tahun (B-15) dari seluruh Selangor bakal berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak Sultan Selangor 2026.
- Kerajaan Negeri menaja RM500,000 bagi melaksanakan program pembangunan bola sepak akar umbi.
- Format kejohanan berkonsepkan Piala Dunia memberi peluang pengalaman pertandingan kompetitif kepada pemain muda.
- Setiap sekolah menerima RM1,200 pada pusingan awal dan RM1,000 bagi setiap pusingan yang berjaya.
- Perlawanan bermula 22 September di 12 venue; perlawanan akhir 31 Oktober di Stadium MBPJ dengan hadiah wang tunai.
Kejohanan sempena sambutan 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu turut mendapat tajaan RM500,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata format kejohanan yang berkonsepkan Piala Dunia itu memberi peluang kepada pemain muda untuk memperoleh pengalaman pertandingan kompetitif, selain membolehkan pihak berkaitan menilai bakat yang berpotensi diserap ke program pembangunan bola sepak Selangor.
“Kita rasa ini program yang baik kerana program ini sempena Jubli Perak Tuanku dan ini adalah akar umbi.
“Sebenarnya pembangunan akar umbi ini adalah usaha kita kembali kepada masyarakat dan rakyat.
“Ini adalah masa depan bola sepak Selangor. Bakat-bakat itu ada, cuma pihak FAS, Majlis Sukan dan sebagainya perlu melihat bakat terbaik untuk diserapkan kemudian, mungkin untuk SUKMA nanti,” katanya.
Jelasnya, setiap sekolah yang menyertai kejohanan bakal menerima RM1,200 pada pusingan awal, selain RM1,000 bagi setiap pusingan yang berjaya dilalui sehingga peringkat separuh akhir.
Saingan dijadual bermula 22 September ini di 12 venue di seluruh Selangor.
Manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada 31 Oktober di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, diikuti RM9,000 bagi naib juara, RM7,000 untuk tempat ketiga dan RM5,000 bagi tempat keempat.
Sementara itu, beliau berkata tajaan RM500,000 yang disalurkan oleh kerajaan Negeri Selangor itu merupakan tanda sokongan dan komitmen kerajaan negeri terhadap usaha jawatankuasa penganjur dalam mencungkil bakat serta potensi pemain muda yang boleh menjadi pelapis bola sepak Selangor pada masa depan.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek cura bernilai RM500,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Emran Kadir, pada Majlis Penyerahan Tajaan Kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak Sultan Selangor di sini hari ini.