
NICE, 14 September – Pelajar tahun satu Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Dani Amir Fariz, 19, mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menamatkan perlumbaan Ironman 70.3 Nice 2026 dalam masa 6 jam 44 minit 21 saat.
- Peserta termuda kejohanan dunia Ironman 70.3, berentap dalam renang, berbasikal dan larian.
- Segmen berbasikal amat mencabar dengan pendakian curam; beberapa ketika hanya mampu mengayuh 11 kilometer sejam.
- Kejayaan luar jangka itu memberi makna besar, memacu hasratnya terus banggakan negara dan mengembangkan potensi triatlon.
Lebih membanggakan, Ahmad Dani merupakan peserta termuda dalam kejohanan yang menyaksikan peserta dari seluruh dunia berentap dalam tiga disiplin iaitu renang sejauh 1.8 kilometer, berbasikal 90 kilometer dan larian 21 kilometer.
Beliau berkata kejayaan itu menjadi pengalaman sangat bermakna selepas berjaya mengharungi laluan perlumbaan yang mencabar, khususnya segmen berbasikal yang mempunyai pendakian curam.
“Ini adalah pertandingan yang amat sukar. Segmen berbasikal terlalu mencabar.
“Buktinya sungguh curam dan pendakian adalah amat sukar sehinggakan ada beberapa ketika saya hanya mampu mengayuh 11 kilometer sejam.
“Namun, saya cuba mengejar masa semasa turun,” katanya.
Beliau berkata cuaca panas turut memberi cabaran ketika melengkapkan segmen larian, selain keadaan laluan yang agak sukar.
Menurutnya, penyertaan di Nice menjadi lebih bermakna kerana itu merupakan kali terakhir kejohanan dunia Ironman 70.3 diadakan di bandar berkenaan.
“Ini adalah kali terakhir kejohanan dunia Ironman 70.3 diadakan di Nice.
“Jadi, meskipun litar amat mencabar, saya nekad untuk menikmati perlumbaan ini sebab saya tidak tahu bila lagi saya akan berpeluang berlari, berbasikal dan berlari di sini,” ujarnya.
Penyertaan di Nice merupakan kali ketiga Ahmad Dani dalam acara Ironman 70.3 selepas berjaya menempatkan diri dalam kalangan kelompok 10 terbaik kategori 18 hingga 24 tahun pada Ironman 70.3 Langkawi 2025.
Kejayaan itu sekali gus melayakkannya menyertai kejohanan dunia itu.
Beliau turut berkata kejayaan tersebut agak di luar jangkaannya memandangkan beliau masih baharu dalam sukan triatlon dan hanya pertama kali menyertai Ironman 70.3 ketika bertanding di Langkawi.
“Saya masih lagi baru berjinak-jinak dalam sukan triatlon.
“Sejujurnya, saya tidak menjangka akan layak ke peringkat kejohanan dunia semasa saya di Langkawi kerana itulah kali pertama saya menyertai Ironman 70.3,” katanya.
Beliau yang juga penerima Anugerah Dekan bagi semester berkenaan berkata pencapaian itu menjadi titik permulaan untuknya terus mengembangkan potensi dalam sukan triatlon, selain membawa nama Malaysia dan UKM ke pentas antarabangsa.
“Saya harap untuk terus membanggakan nama Malaysia serta UKM.
“Saya juga ingin membuktikan bahawa pelajar universiti, terutamanya jurusan undang-undang, bijak mengurus masa dan boleh mengimbangkan pelajaran dan penglibatan dalam sukan,” katanya.