
SUNGAI BULOH, 14 September – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke akan mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) diadakan bagi membincangkan perkembangan politik semasa.
- Kenyataan Presiden UMNO Ahmad Zahid di PAU menimbulkan kebimbangan terhadap perkembangan politik.
- Loke berkata kenyataan itu menjejaskan kepastian dan kestabilan politik negara.
- Perkembangan itu berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur serta orang ramai.
- Beliau mahu Perdana Menteri menjelaskan isu ini kepada semua parti komponen berhubung kedudukan BN.
Ia susulan kenyataan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata kenyataan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kepastian dan kestabilan politik negara, selain berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur serta orang ramai.
“Sudah tentu kami memandang serius perkembangan ini dengan penuh keprihatinan. Beberapa kenyataan yang dikeluarkan jelas tidak baik dari segi kepastian dan kestabilan politik negara, seolah-olah menunjukkan parti komponen dalam kerajaan tidak menuju ke arah yang sama.
“Jadi perkara ini tidak akan memberi keyakinan kepada pelabur serta orang ramai. Saya berpandangan Perdana Menteri perlu menjelaskan perkara ini kepada semua parti komponen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan M.V.15 CARSOME Academy di hab pengedar CARSOME, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Presiden UMNO itu dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan agung parti berkenaan baru-baru ini yang menyentuh kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.