
KUCHING, 6 Julai – Enam individu termasuk dua warga asing ditahan kerana terlibat dalam pemerdagangan sarang burung walit seberat 16,367 kilogram (kg) bernilai RM81.8 juta.
- Suspek disyaki mengambil, mengumpul, menjual dan memiliki sarang walit tanpa lesen sah daripada pengawal hidupan liar.
- Barang rampasan berskala besar dipercayai untuk dieksport ke pasaran luar negara.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 33(1) dan Seksyen 33(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
- OBK 1 hingga 16 Jun libatkan SFC, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan PERHILITAN; 70 kertas siasatan, 62 tangkapan, sitaan dianggarkan RM98.4 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mereka ditahan kerana disyaki mengambil, mengumpul, menjual dan memiliki sarang burung tanpa memiliki lesen yang sah daripada pengawal hidupan liar.
“Siasatan awal mendapati barang rampasan berskala besar ini untuk dieksport ke pasaran luar negara.
Kes disiasat dibawah Seksyen 33(1) dan Seksyen 33(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998,” katanya dalam sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di sini, pagi tadi.
OBK berkenaan dijalankan pada 1 hingga 16 Jun lepas melibatkan pelbagai agensi antaranya Sarawak Forestry Corporetion (SFC), Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Dalam OBK kali ini juga menyaksikan sejumlah 70 kertas siasatan dibuka dengan 62 tangkapan melibatkan jumlah sitaan dianggarkan RM98.4 juta.
“Selain sarang burung walit, OBK terbabit turut merampas dan menyita pelbagai khazanah alam Sarawak antaranya pelbagai jenis kayu balak, pelbagai jenis kura-kura, ayam sabung dan telur penyu,” jelasnya lagi.