KPDN Labuan tumpaskan dua kes seleweng diesel, rampasan lebih RM83,000

Tumpaskan kes seleweng diesel menerusi Ops Tiris 4.0

LABUAN, 6 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan berjaya menumpaskan dua kes berasingan membabitkan penyelewengan diesel tanpa permit menerusi Ops Tiris 4.0, dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM83,806.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki ditahan selepas ditemukan kira-kira 1,000 liter diesel dalam lima tong tanpa permit; peralatan hos dan pam turut dirampas.
  • Seorang lelaki ditahan di stesen minyak selepas mengisi diesel ke dalam gelen 20 liter berulang kali tanpa dokumen, diesel dikumpul dalam kenderaan syarikat.
  • Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; jika sabit, hukuman hingga denda RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain dalam satu kenyataan berkata, dalam kes pertama, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan berhampiran Saguking Warehouse, Jalan Tuanku Sharif Kedah.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis ‘single cab’ menemukan kira-kira 1,000 liter diesel yang disimpan dalam lima tong, selain peralatan seperti hos dan pam elektrik.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bertulis bagi memiliki bahan api tersebut,” katanya.

Susulan itu, pihak penguat kuasa merampas diesel berkenaan dengan nilai anggaran RM53,720.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 39 tahun turut ditahan di sebuah stesen minyak selepas dikesan mengisi diesel ke dalam gelen berkapasiti 20 liter secara berulang sebelum dikumpulkan dalam sebuah kenderaan milik syarikat perindustrian.

Pemeriksaan mendapati individu tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran, menyebabkan pihak berkuasa merampas diesel dengan nilai anggaran RM30,086.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

KPDN menegaskan akan terus memperhebat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan demi memastikan bekalan mencukupi dan tidak disalahgunakan.