
SEPANG,24 Jun – Bekas ketua pengarang berita mengaku tidak bersalah hari ini di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memuat naik komen palsu menerusi akaun Facebook pada April lalu.
- Didakwa memuat naik komen palsu di Facebook mengenai dakwaan penyeludupan 52 juta liter diesel.
- Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin; sebutan semula ditetapkan 29 Ogos.
Tertuduh, Mohd Khaidir Ahmad, 64 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan akaun Facebook miliknya secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komen yang palsu sifatnya.
Kandungan yang dimuat naik adalah berkaitan dakwaan palsu mengenai penyeludupan 52 juta liter diesel.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 April lalu, manakala kandungan berkenaan dikesan pada 13 April 2026 kira-kira pukul 7 malam di bangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) disini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Siti Hajar Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Ogos depan untuk sebutan semula kes.