
KOTA BHARU, 13 April- Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Pengkalan Chepa, Kelantan, Zara Akhtar Zamzuri, 13 tahun, yang parah
selepas dilanggar kenderaan dipandu guru semalam, kini dalam keadaan stabil.
- Zara Akhtar sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan dipantau rapi.
- Beliau mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan muka.
- Polis sedang menyiasat kejadian; pihak kesihatan mohon orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
- Seorang pelajar lain maut manakala guru dipercayai tertekan pedal minyak hingga kenderaan terbabas dan melanggar dua pelajar.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, pelajar berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II Kota Bharu.
Menurut beliau, Zara Akhtar mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan muka.
“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis, kami memohon semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini, “katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Beliau turut memberi jaminan pelajar berkenaan akan menerima rawatan terbaik serta pemantauan rapi sehingga pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi.
Semalam, pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13 tahun, maut manakala seorang lagi parah selepas dilanggar kenderaan dipandu seorang guru wanita.
Kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila guru berkenaan tertekan pedal minyak sebelum kenderaannya terbabas dan melanggar dua pelajar berkenaan.