
PUTRAJAYA, 15 Januari – Kertas siasatan kes melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya Isnin ini, sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan pendakwaan.
- Kertas siasatan kes bekas Panglima Tentera Darat dijangka siap dan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Isnin ini.
- Siapa yang dicadangkan untuk pertuduhan akan ditentukan selepas pendakwa raya meneliti bukti, transaksi kewangan dan keterangan saksi.
- Sehingga kini 23 ditahan, 22 kertas rasuah dan satu kertas AMLA dibuka; aset disita sekitar RM11.4 juta, 75 akaun dibeku.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata siasatan kes berprofil tinggi itu kini berada di fasa akhir dan sekurang-kurangnya seorang atau dua individu dijangka dicadangkan untuk pertuduhan.
“Saya telah memberi arahan supaya kertas siasatan siap pada hari Isnin minggu hadapan dan seterusnya dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibuat keputusan,” katanya dalam sidang media bulanan SPRM, di sini.
Jelasnya pendakwa raya akan meneliti keseluruhan bukti termasuk transaksi kewangan, keterangan saksi dan hasil risikan berkaitan isu perolehan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Siasatan yang dijalankan selama dua minggu secara intensif setakat ini menyaksikan 23 individu ditahan, 22 kertas siasatan rasuah dibuka serta satu kertas siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Kes itu disiasat bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) AMLA, melibatkan dakwaan penerimaan suapan, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Tan Sri Azam berkata sehingga kini, kira-kira 30 saksi telah dirakam percakapan, manakala 27 kontraktor ditahan untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan.
Aset disita dianggarkan bernilai RM11.4 juta dan 75 akaun syarikat dibekukan berjumlah RM32.5 juta.
Antara sitaan termasuk wang tunai, mata wang asing, kenderaan mewah, jam tangan mewah, barang kemas serta jongkong emas.
Sitaan dilakukan di sebuah kediaman di Kuala Lumpur dan sebuah rumah di Besut, Terengganu.