JIM Kelantan tahan 25 pendatang

Foto fail

KOTA BHARU, 15 Januari -Seramai 25 pendatang ditahan dalam OPS Sapu, OPS Kutip dan OPS Mahir yang dijalankan serentak di Kota Bharu dan Bachok, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi serentak di Kota Bharu dan Bachok menahan 25 lelaki warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
  • Pemeriksaan melibatkan 48 individu di tapak pembinaan, kilang perabot dan premis kedai, dengan 18 pegawai penguat kuasa terlibat.
  • Yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen dan penguatkuasaan akan diteruskan untuk memastikan pematuhan undang-undang.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi melibatkan seramai 18 pegawai penguat kuasa dan memfokuskan pemeriksaan di tiga premis perniagaan serta tapak pembinaan.

“Seramai 48 orang telah diperiksa melibatkan rakyat tempatan serta warga asing dan hasil pemeriksaan mendapati 25 lelaki warga asing ditahan, kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lokasi pertama iaitu tapak pembinaan dekat Seksyen 12, Kota Bharu, seramai 32 orang diperiksa dan 11 lelaki warga asing ditahan.

“Tangkapan tersebut membabitkan lima warga Thailand dan tiga warga Bangladesh ditahan bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala dua warga Indonesia disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang lagi warga Indonesia bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama.

“Lokasi kedua pula dijalankan di sebuah kilang membuat perabot di Bachok dan mendapati 12 warga Pakistan dan Bangladesh ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen, termasuk pelanggaran syarat pas dan kemasukan tanpa dokumen sah,” katanya.

Beliau berkata dua lagi lelaki warga Pakistan turut ditahan di lokasi ketiga iaitu sebuah premis kedai perabot di Bachok, kerana disyaki melanggar Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk tindakan lanjut, manakala operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang dan memastikan pematuhan undang-undang imigresen,” katanya.