
TAIPING, 15 Januari -Polis menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung kes penderaan kanak-kanak yang dikatakan berlaku di sini, baru-baru ini.
- Polis Perak menafikan dakwaan penderaan kanak-kanak tular di Taiping kerana tiada laporan polis diterima.
- Pemeriksaan awal bersama bapa menunjukkan tiada kesan kecederaan atau lebam pada kanak-kanak.
- Jika laporan diterima, kanak-kanak akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kejadian tersebut.
Menurut beliau, pemeriksaan awal turut dilakukan oleh pihak polis bersama bapa kandung kanak-kanak berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan atau lebam ditemui pada tubuh kanak-kanak terbabit.
“Pemeriksaan fizikal telah dijalankan dan tidak terdapat sebarang kesan lebam atau tanda penderaan.
Jika ada laporan dibuat, kita akan rujuk kanak-kanak itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
Pada Selasa, tular di media sosial dakwaan seorang kanak-kanak didera oleh ibu tiri di Taiping.
Kanak-kanak itu juga dikatakan cuba menaiki kereta api untuk ke Kedah bagi menemui neneknya.