
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Pemandu yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir, di Jalan Kuching, Sabtu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya.
- Mahkamah memerintahkan lesen pemandu digantung sehingga kes selesai; pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
- Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan: hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.
- Pertuduhan mengikut Seksyen 42(1): hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM36,000 dengan seorang penjamin; kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 19 November.
Raeven Goh Wey Haur, 24 tahun, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai, selain mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, Raeven didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, pada pukul 3.44 petang, 10 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang bekerja sebagai pegawai bank didakwa memandu secara berbahaya di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 42(1) akta berkenaan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Bagi pertuduhan ketiga, Raeven didakwa gagal berhenti selepas terbabit dalam kemalangan di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang RM2,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Beliau turut memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung sementara menunggu kes selesai dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela, Kailash Sharma memohon jaminan minimum dengan mengambil kira kerjasama keluarga tertuduh dengan polis sejak hari kejadian.
Mahkamah kemudian membenarkan Raeven diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 19 November ini.
Ahli keluarga Asiah turut hadir pada prosiding berkenaan bersama peguam pemerhati, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.