
BUTTERWORTH, 24 Julai – Sebanyak 8.15 juta batang rokok putih tidak berkastam berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dalam satu operasi di Pelabuhan Klang.
- Pemeriksaan 24 Jun menemui 815 'master case' rokok tersembunyi dalam kontena diisytihar sebagai politelin atau kanvas plastik.
- Jumlah rampasan termasuk duti dianggarkan RM9.144 juta, menumpaskan cubaan pengisytiharan palsu.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967; JKDM turut merampas minuman keras tidak berkastam bernilai RM237,244.40.
Sekali gus membongkar taktik licik sindiket yang mengisytiharkan muatan sebagai kain kanvas.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hasbollah Din berkata, pemeriksaan oleh Bahagian Penguatkuasaan pada 24 Jun lalu kira-kira pukul 11.15 pagi menemukan 815 ‘master case’ rokok yang disembunyikan dalam sebuah kontena yang diikrarkan membawa bahan politelin atau kanvas plastik.
“Jumlah rampasan melibatkan nilai keseluruhan termasuk duti dianggarkan RM9.144 juta, sekali gus menumpaskan cubaan mengaburi pihak berkuasa melalui pengisytiharan palsu,”katanya dalam sidang media di pejabat JKDM Pulau Pinang di sini, hari ini.
Siasatan awal mendapati kontena berkenaan dipercayai membawa rokok tidak berkastam dari sebuah negara di Asia Tenggara.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perisytiharan tidak sahih.
Dalam perkembangan berasingan, JKDM Pulau Pinang turut merampas minuman keras tidak berkastam daripada sebuah lori di Simpang Ampat, Seberang Perai Utara yang disyaki berperanan sebagai ejen penyeludupan, dengan nilai kastam dianggarkan RM237,244.40.