
KUALA LUMPUR, 24 Julai– Cubaan sekumpulan warga asing membuka sebuah kelab hiburan eksklusif di Jalan Ampang, di sini, gagal selepas premis berkenaan diserbu semalam.
- 109 lelaki warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen semasa serbuan.
- Premis aras 18 dan 24 dikesan sedang diubahsuai, dipercayai dilengkapi kawalan keselamatan berlapis dan akses terkawal.
- Operasi hasil risikan tiga minggu; majoriti dipercayai guna pas lawatan sosial, disyaki bekerja tanpa kebenaran; tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi pada pukul 11.45 pagi itu, 109 lelaki warga asing ditahan atas pelbagai kesalahana imigresen.
Siasatan awal mendapati mereka terdiri daripada warga China, Bangladesh, Myanmar dan India berusia 30 hingga 43 tahun.
Beliau memaklumkan, premis yang terletak di aras 18 dan 24 sebuah menara komersial itu dikesan sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian ketika serbuan dilakukan.
“Premis itu dipercayai sedang dipersiapkan untuk beroperasi sebagai sebuah kelab hiburan eksklusif yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan berlapis serta akses masuk yang dikawal rapi.
Sebahagian besar daripada mereka dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, namun disyaki menjalankan aktiviti pekerjaan tanpa kebenaran, sekali gus melanggar syarat pas yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Datuk Zakaria, operasi itu dijalankan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan risikan selama tiga minggu susulan maklumat awam.
Kesemua tahanan dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.