JPJ sita 145 kenderaan mewah dalam OP Luxury

Antara kenderaan mewah yang disita JPJ Negeri Sembilan menerusi Op Luxury yang dilaksanakan sejak Januari lalu./ JPJ

SEREMBAN, 18 Jun – Sebanyak 145 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi Operasi Luxury yang dijalankan sejak Januari lalu di beberapa lokasi strategik di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 262 kesalahan dikesan semasa pemeriksaan kenderaan mewah oleh JPJ Negeri Sembilan.
  • Antara model terlibat termasuk BMW, Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Lexus, Porsche dan BMW Limousine.
  • JPJ menegaskan tiada kompromi terhadap pelanggar undang-undang jalan raya; penguatkuasaan diteruskan melalui rondaan, sekatan jalan raya dan pemeriksaan teknikal.

Menurut kenyataan media JPJ Negeri Sembilan, sepanjang tempoh pelaksanaan operasi tersebut, sebanyak 145 kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 262 kesalahan dikesan.

“Daripada jumlah itu, kesemua 145 kenderaan terbabit telah diambil tindakan sitaan.

“Antara model kenderaan yang terlibat termasuk BMW, Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Lexus, porsche dan BMW Limousine,” menurut kenyataan itu.

JPJ Negeri Sembilan turut memaklumkan, tujuh daripada kenderaan mewah yang disita melibatkan pemandu warga asing terdiri daripada warganegara China, Pakistan, Bangladesh serta seorang pemegang kad UNHCR.

“Tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya, tanpa mengira nilai atau status kenderaan yang digunakan.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan menerusi rondaan, sekatan jalan raya dan pemeriksaan teknikal bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap tertinggi,” menurut kenyataan itu lagi.

Op Luxury memfokuskan pelbagai kesalahan jalan raya melibatkan kenderaan mewah termasuk penggunaan lesen memandu tidak sah atau tamat tempoh, perlindungan insurans yang tidak sah, pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan serta pelanggaran peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.