
KUALA LUMPUR, 18 Jun- Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan bermula hari ini dijangka membuka ruang baharu dalam hubungan dua hala Malaysia dan negara Asia Tengah itu, khususnya dalam sektor tenaga.
- Pertemuan Anwar dengan Presiden Turkmenistan untuk mengukuh hubungan diplomatik dan memperluas kerjasama ekonomi antara kedua negara.
- Beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian, termasuk empat dokumen minyak dan gas melibatkan Petronas, akan dimeterai semasa forum.
- Perbincangan juga merangkumi perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertanian dan industri halal bagi memperkukuh keselamatan makanan dan peluang pelaburan.
Datuk Seri Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan diplomatik serta memperluas kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Lawatan dua hari itu turut dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen kerjasama melibatkan pelbagai bidang termasuk minyak dan gas membabitkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Turkmenistan merupakan antara negara dengan rizab gas asli terbesar dunia, sekali gus menjadikan sektor tenaga sebagai antara bidang utama yang berpotensi diperkukuh menerusi hubungan Kuala Lumpur-Ashgabat.
Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin berkata beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian akan dimeterai sempena Forum Turkmenistan-Malaysia yang dijadual berlangsung Jumaat ini.
“Sebanyak tiga memorandum persefahaman dan perjanjian akan ditandatangani selain empat dokumen berkaitan kerjasama minyak dan gas membabitkan Petronas semasa Forum Turkmenistan-Malaysia di Dewan Perdagangan dan Industri Turkmenistan pada Jumaat,” katanya.
Selain sektor tenaga, perbincangan turut dijangka meliputi bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertanian serta industri halal.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Madya Dr Roy Anthony Rogers berkata Turkmenistan berpotensi menjadi rakan kerjasama Malaysia dalam bidang pertanian serta industri halal.
“Kerjasama dalam bidang pertanian antara kedua-dua negara juga berpotensi membantu Malaysia khususnya dari segi keselamatan makanan termasuk bekalan gandum, sumber daging dan kerjasama menerusi pembangunan hab halal,” katanya.
Hubungan Malaysia-Turkmenistan terus berkembang dengan nilai dagangan tahun lalu merekodkan lebih RM75 juta, manakala Petronas yang telah beroperasi di negara itu sejak 1996 mencatat pelaburan berjumlah AS$11.8 bilion.
Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen Malaysia memperluas jaringan ekonomi dan diplomatik ke rantau Asia Tengah.