
PUTRAJAYA, 18 Jun – Sebanyak 1,638 syarikat lagi disyaki terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan insentif bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan anggaran kerugian RM45 juta.
- SPRM membuka 63 kertas siasatan; 97 suspek ditahan, 77 direman dan 577 individu direkod keterangan bagi membantu siasatan.
- Modus operandi termasuk mengisytiharkan individu bukan pekerja, menggunakan data tanpa pengetahuan, serta penyalahgunaan maklumat OKU untuk tuntutan palsu.
- PERKESO berjaya mendapatkan semula RM1.26 juta daripada majikan yang mengaku menipu permohonan Program Daya Kerjaya 2.0.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, daripada jumlah berkenaan pihaknya memberi tumpuan kepada 143 syarikat yang dikenal pasti mengemukakan tuntutan palsu sekali gus membawa kepada penahanan 97 individu.
“Pada masa ini, kita memberi tumpuan terlebih dahulu kepada 143 syarikat yang melibatkan tuntutan bernilai sekitar RM9 juta. Bagaimanapun, jumlah itu mungkin telah berjaya dikurangkan kepada kira-kira RM5 juta selepas tindakan pembetulan diambil.
“Selepas ini, kita akan memperluas penelitian terhadap kesemua 1,638 syarikat berkenaan yang dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM45 juta,” katanya dalam sidang media khas di sini.
Dalam pada itu sebanyak 63 kertas siasatan dibuka, dengan 97 individu terdiri daripada 86 pemilik syarikat dan 11 ejen ditahan setakat Selasa lepas bagi membantu siasatan. Daripada jumlah tersebut, 77 individu telah direman dan SPRM telah merakam keterangan daripada 577 individu.
Datuk Seri Abd Halim turut memaklumkan, siasatan awal mendapati beberapa syarikat dipercayai mengemukakan tuntutan palsu kepada PERKESO bagi mendapatkan insentif penggajian kerajaan.
Modus operandi yang digunakan termasuk mengisytiharkan individu sebagai pekerja, sedangkan mereka sebenarnya tidak pernah bekerja dengan syarikat terbabit. SPRM turut mengesan penyalahgunaan maklumat orang kurang upaya (OKU), bagi membolehkan bayaran disalurkan kepada pihak lain.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata setakat Rabu, pihaknya berjaya mendapatkan semula RM1.26 juta daripada majikan yang mengaku melakukan penipuan pada permohonan Program Daya Kerjaya 2.0.
Pada 9 Jun lepas, SPRM menahan 73 individu, terdiri daripada 48 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 70-an yang bertindak sebagai ejen serta pemilik syarikat di seluruh negara, kecuali Perlis, disyaki terbabit sindiket pemalsuan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 melibatkan nilai kira-kira RM9 juta.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2024 hingga 2025, dengan membuat tuntutan palsu melibatkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).