Dialog dan diplomasi perlu jadi asas tangani konflik dan ketegangan geopolitik – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi pleno Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan./ BERNAMA

KAZAN, 18 Jun – Dialog dan diplomasi perlu terus menjadi asas dalam menangani konflik serta ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keamanan berkekalan dicapai melalui rundingan, persefahaman dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.
  • Perkukuh kerjasama perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, sains dan teknologi, kecerdasan buatan, tenaga serta keterjaminan makanan dan industri halal.
  • Malaysia tuntut hentikan keganasan di Gaza, salur bantuan tanpa halangan serta pertahankan hak Palestin; kecam peluasan tentera ke Lubnan dan serangan terhadap UNIFIL.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi pleno Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan.

“Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui rundingan, persefahaman dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Rusia merupakan rakan aktif dalam platform yang diterajui ASEAN termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur, Forum Serantau ASEAN dan ADMM-Plus. Platform-platform ini memastikan saluran komunikasi terus terbuka serta membolehkan kita membincangkan isu-isu sukar semasa. Dalam keadaan dunia
yang tidak menentu ketika ini, diplomasi mesti sentiasa menjadi pilihan pertama,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, sains dan teknologi, kecerdasan buatan, tenaga, keterjaminan makanan, industri halal serta hubungan antara rakyat.

Menyentuh perkembangan di Asia Barat, Datuk Seri Anwar sekali lagi mengulangi pendirian Malaysia yang menuntut agar keganasan di Gaza dihentikan serta-merta, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan dan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka terus dipertahankan.

Beliau turut mengecam peluasan tindakan ketenteraan rejim Zionis Israel ke atas Lubnan serta mengutuk sebarang serangan terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan, UNIFIL.

“ASEAN dan Rusia mempunyai ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama berasaskan saling menghormati, manfaat bersama serta komitmen terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat,” katanya.

Perdana Menteri berada di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun ini.

Lawatan berkenaan diadakan atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.