Tukang kebun didakwa bunuh kontraktor, rogol bekas teman wanita

Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly, 30, didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang pekerja kontraktor pada minggu lepas/ BERNAMA

BATU GAJAH, 18 Jun – Seorang tukang kebun dihadapkan ke dua mahkamah berasingan hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kontraktor dan cuba merogol bekas teman wanitanya di Kampung Gajah, Perak, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa membunuh Muhammad Fahmi Abdullah antara 4.30 hingga 5.49 pagi di tepi Jalan Trans Perak, daerah Kinta.
  • Tiada pengakuan direkodkan; kes Seksyen 302 di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi; sebutan 20 Julai untuk laporan bedah siasat.
  • Mengaku bersalah cuba merogol bekas teman wanita; dihukum 4 tahun penjara, tiga sebatan, pengawasan polis 3 tahun, kaunseling dan pemulihan.

Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly, 30 tahun, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu dalam dua kejadian berasingan pada 10 Jun lalu.

Di Mahkamah Majistret Batu Gajah, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Fahmi Abdullah, 29 tahun, antara pukul 4.30 pagi hingga 5.49 pagi.

Kejadian itu didakwa berlaku di tepi jalan utama, Jalan Trans Perak, dalam daerah Kinta.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Ipoh, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan cuba merogol bekas teman wanitanya, Ainatul Maisarah Roslee.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 5.00 pagi pada tarikh sama di dalam sebuah kereta di kawasan kebun sawit, Seberang Perak, Kampung Gajah.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Hakim Jean Sharmila Jesudason menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 11 Jun lalu serta tiga sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman penjara, selain mengikuti kaunseling dan program pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.